Mengharap rahmat Allah : Kebersihan hati kunci membuka pintu syurga dalam ibadat, kehidupan.
Kebersihan hati kunci buka pintu amalan baik memasuki alam tertinggi.
KISAH menarik perlu dihayati bakal penghuni syurga adalah seperti sabda Rasulullah SAW kepada sahabat, "Sebentar lagi seorang penghuni syurga akan masuk." Mendengar khabar itu semua mata btertumpu ke pintu masjid. Dalam fikiran sahabat, terbayang watak orang yang luar biasa.
Tiba-tiba masuklah seorang lelaki yang mukanya masih basah dengan air wuduk. Penampilannya biasa saja. Ia bukan orang terkenal iaitu Abu Umamah Ibnu Jarrah. Keesokan harinya, peristiwa serupa berulang, demikian pula hari ketiga. Sahabat menjadi hairan, amalan apa dimiliki orang itu hingga Rasulullah SAW menyebutnya calon penghuni syurga.
Di kalangan sahabat, Abdullah bin Amr bin 'Ash, meminta izin kepada Abu Umamah untuk menginap tiga hari di rumahnya. Tiga hari tiga malam, Abdullah memperhatikan, meneliti bahkan mengintip tuan rumah. Namun tidak ada satu pun yang istimewa. Hari dilalui tidak jauh berbeza dengan sahabat lain. Ibadatnya pun biasa saja.
Pasti ada sesuatu yang disembunyikan. Aku mesti berterus terang kepadanya, ujar Abdullah. Ia pun bertanya, amal apakah yang engkau lakukan sehingga Rasulullah SAW memanggilmu calon penghuni syurga? Jawapan Abu Umamah sungguh mengecewakan, "Apa yang engkau lihat itulah."
Ketika Abdullah hendak pergi, tiba-tiba tuan rumah berkata: "Wahai saudaraku, sesungguhnya aku tidak pernah iri hati dan dengki terhadap nikmat yang Allah berikan kepada orang lain. Sebelum tidur, aku selalu bersihkan hati daripada ujub, takbur, dengki dan rasa dendam."
Ada banyak teladan dalam kisah itu. Namun yang pasti, hanya orang bersih hati yang akan memasuki syurga tertinggi, juga bertemu dengan Al-Khaliq, Allah Azza Wa Jalla.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan janganlah engkau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan (iaitu) di hari harta dan anak pinak tidak berguna, kecuali orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih." (Surah as-Syu'araa, ayat 78)
Kebersihan hati adalah kunci untuk membuka pintu syurga. Sekecil mana pun amalan, tetap akan dapat memasukkan orang ke syurga, asalkan ia memiliki hati bersih. Sebaliknya, sebanyak mana pun amalan, tidak akan bererti sama sekali apabila kita memiliki hati penuh penyakit.
Abu Umamah layak diteladani. Ia bukan sahabat terkenal seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar bin Khattab, Usman bin 'Affan atau Ali bin Abi Talib. Ibadatnya tidak tersohor seperti Abu Darda', Abdul Rahman bin 'Auf, Salman al-Farisi, juga beberapa sahabat lainnya.
Namun darjatnya di mata Allah dan Rasul-Nya demikian tinggi, hingga Rasulullah SAW menyatakan ia sebagai calon penghuni syurga kerana hatinya bersih daripada penyakit, kebencian dan dendam. Sehingga semua amalan kebaikannya tetap utuh dan bernilai di hadapan Allah.
No comments:
Post a Comment