02 May 2009

BUDAYA HEDONISME MELALAIKAN MASYARAKAT

*BUDAYA HEDONISME ialah kecenderungan untuk bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan

dari wikipedia bahasa indonesia:
Hedonisme adalah pandangan hidup yang menganggap bahwa kesenangan dan kenikmatan materi adalah tujuan utama hidup. Bagi para penganut paham ini, bersenang-senang, pesta-pora, dan pelesiran merupakan tujuan utama hidup, entah itu menyenangkan bagi orang lain atau tidak. Karena mereka beranggapan hidup ini hanya 1x, sehingga mereka merasa ingin menikmati hidup senikmat-nikmatnya. di dalam lingkungan penganut paham ini, hidup dijalanani dengan sebebas-bebasnya demi memenuhi hawa nafsu yang tanpa batas. Dari golongan penganut paham ini lah muncul nudisme (gaya hidup bertelanjang). Pandangan mereka terangkum dalam pandangan Epikuris yang menyatakan,"Bergembiralah engkau hari ini, puaskanlah nafsumu, karena besok engkau akan mati."

_______


Khutbah Jumaat - 28 Rabiulawal 1424H/30 Mei 2003 - Bil:22/2003

BUDAYA HEDONISME MELALAIKAN MASYARAKAT

Oleh: Abu ‘Afifah
sumber : http://www.sabah.gov.my/jheains/Budaya%20Hedonisme%20Melalaikan.htm


Firman Allah dalam kitab suci-Nya yang maha agung: yang bermaksud:

“...Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesaran) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.”

(Q.s. Ali Imran: 185).

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Seperti yang kita sedia maklum, masalah lepak di kalangan remaja bukan lagi fenomena baru, malah seolah-olah sudah menjadi budaya yang boleh disifatkan sebagai berkesinambungan dari satu generasi ke generasi baru. Cuma bezanya dengan generasi terdahulu, remaja yang melepak sekarang kelihatan lebih mewah kerana ramai daripada mereka kelihatan bergaya dengan telefon bimbit, selain berpakaian berjenama, malah ada yang berkenderaan sama ada motorsikal ataupun kereta. Senario ini mencerminkan kehidupan generasi hari ini lebih senang dan mewah berkat hasil kemajuan yang dicapai sejak merdeka. Dan sudah sewajarnyalah kemakmuran hidup yang dinikmati ini kita hargai dan syukuri bersama, dengan mengabdikan diri kepada Khalikul-alam, iaitu mengerjakan segala suruhan Allah dan menghindari diri dari segala tegahan-Nya. Insya Allah, dengan cara ini keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah akan lebih teguh dan mantap hatta membolehkan kita terus menikmati rezeki yang banyak yang melimpah ruah dari langit dan bumi.

Kaum muslimin yang dikasihi Allah,

Sejak akhir-akhir ini terlihat seolah-olah ada kecenderungan masyarakat untuk hidup mewah, bergaya dan berhibur secara berlebih-lebihan. Di rumah misalnya, segala kelengkapannya seperti perabot dan perlatan elektriknya mestilah yang serba moden dan canggih; kalau kenderaan pula, bukan sahaja dari jenama yang terkenal, tetapi juga ia harus dilengkapi dengan pelbagai aksesori mutakhir yang memperlihatkan kehebatan pemiliknya; begitu juga dengan pakaian, harus dari jenis yang berjenama dan bergaya; dan kalau bersantai ataupun berhibur, harus pula di tempat-tempat yang ada kelas. Dan pengaruh budaya hidup serupa inilah yang menyebabkan masyarakat terus dibebani hutang. Keinginan untuk hidup mewah dan bergaya inilah juga yang dipercayai menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah sejak kebelakangan ini.

Maka tidak menghairankan kita bilamana berita rompakan bank dan kedai emas, kehilangan kenderaan, rasuah, peras ugut, pengedaran dadah dan lain-lain lagi hampir setiap hari menghiasi dada-dada akhbar. Kesemua jenayah yang dilakukan itu lebih bermotifkan untuk mendapatkan wang, justeru wang adalah umpama kuasa yang dapat menjana segala keperluan manusia seperti harta, hiburan dan sebagainya. Pendekata, demi mendapatkan wang yang disifatkan sebagai sumber kesenangan dan kemewahan hidup di dunia, ada manusia yang sanggup melakukan apa saja pekerjaan meskipun barangkali terpaksa menjatuhkan orang lain dengan pelbagai tipu muslihat ataupun barangkali terpaksa menggadai nyawa dan maruah diri serta mengorbankan nyawa orang lain. Dan sesuatu hal yang amat membimbangkan kita ialah jenayah-jenayah ini turut membabitkan golongan remaja.

Kaum muslimin yang dikasihi

Allah,

Kecenderungan untuk bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan diistilahkan sebagai budaya hedonisme. Budaya yang mengutamakan aspek keseronokan diri ini seperti memiliki barangan yang berjenama, minum arak, berjudi, bermain muzik, berhibur di kelab-kelab malam dan sebagainya itu sememangnya mempesonakan dan menggiurkan golongan remaja. Gejala sosial yang kian membimbangkan pelbagai pihak ini dikesan dirangsang oleh pengaruh iklan, rakan-rakan serta keadaan persekitaran.

Sungguhpun keinginan untuk hidup senang dan mewah adalah sebahagian daripada naluri semula jadi manusia, namun bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan secara berlebih-lebihan itu tidak boleh dibiarkan terus menular dan membudaya dalam masyarakat kita. Ini kerana budaya hedonisme boleh mengakibatkan pelbagai gejala negatif. Di samping ia boleh menjerumuskan masyarakat ke dalam kancah jenayah, amalan berhutang dan fitnah menfitnah, budaya hedonisme juga berpotensi membuat manusia leka dan lalai daripada melaksanakan kewajipan hakikinya sebagai hamba Allah dan sebagai anggota keluarga ataupun anggota masyarakat.

Sejarah telah memperlihatkan kepada kita bahawa bangsa yang lena dibuai dengan pelbagai kesenangan dan kemewahan hidup serta didodoikan dengan pelbagai jenis hiburan akan menjadi lalai dan alpa terhadap kewajipannya hatta menyebabkan mereka menjadi lemah dan terjajah. Pengajaran ini terungkap pada sejarah keruntuhan kerajaan Abbasiah, kerajaan Uthmaniah, kesultanan Melaka dan lain-lain lagi, di mana pemerintah dan rakyat lena dibuai kemakmuran negara sehingga lalai mengantisipasi ancaman musuh. Demikianlah juga dengan budaya hedonisme yang sedang menular dalam masyarakat kita hari ini turut mengakibatkan penyakit lalai di ka-langan masyarakat. Sebagai contoh, seseorang yang asyik berhibur dengan berkaraoke dan bersuka ria bersama rakan-rakan di kelab-kelab malam tertentu akan dilalaikan oleh perbuatannya daripada melaksanakan kewajipannya terhadap Allah seperti bersembahyang, berpuasa dan sebagainya di samping lalai terhadap kewajipannnya terhadap sesama manusia seperti memberi perhatian yang sepenuhnya sama ada kepada ibu bapa mahupun kepada isteri dan anak-anak.

Kaum muslimin yang dikasihi

Allah,

Sesungguhnya syaitan telahpun berjanji akan melalaikan dan menyesatkan manusia daripada jalan Allah dengan apa cara sekalipun. Pelbagai kemewahan dan hiburan di dunia ini adalah di antara senjata syaitan dan konco-konconya untuk menjerumuskan manusia kepada kelalaian dan kesesatan. Justeru, Allah menganjurkan kita semua supaya memikirkan hal ini dan berusaha menghindari diri daripada terpedaya dengan tipu daya syaitan seperti keseronokan hidup di dunia yang bersifat sementara ini. Firman Allah:--

Maksudnya:

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakah kamu mahu berfikir?”

(Q.s. Al-An’am: 32).

Melalui ayat yang baru dibacakan itu, Allah menjelaskan kepada kita bahawa kehidupan di dunia ini jika tidak dibajai dengan iman dan takwa akan bertukar menjadi permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan. Rasulullah s.a.w. menyifatkan yang kehidupan di dunia ini laksana penjara bagi orang-orang mukmin tetapi syurga bagi orang-orang kafir. Ini kerana orang-orang kafir yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian mengutamakan kehidupan dunia lantas berusaha sedaya upaya memperolehi harta kekayaan sebanyak mungkin dengan harapan untuk hidup senang dan mewah. Namun, kita sebagai muslim tidak seharusnya terikut-ikut budaya orang-orang yang kufur tersebut bagi menjamin diri tidak terjebak dengan kese-nangan dan kemewahan dunia yang memperdayakan dan merugikan itu.

Kaum muslimin yang dikasihi Allah,

Memang tidak dapat dinafikan bahawa budaya hedonisme atau budaya berhibur ini turut dikesan semakin menjadi kegemaran di kalangan kaum remaja di negara ini. Masalah ini sangat berat dan membimbangkan kerana ia membabitkan golongan muda yang bakal mewarisi dan memimpin negara ini pada masa depan. Justeru, pembabitan semua pihak perlu dalam mengatasi budaya ini tanpa diletakkan di atas bahu kerajaan semata-mata. Ia boleh dibendung jika semua pihak berganding bahu kerana kerajaan atau remaja tidak dapat mengatasi semua masalah berkenaan secara bersendirian.

Dalam hubungan ini, kita harus sedar bahawa masalah sosial remaja berkait rapat dengan pembentukan budaya yang tentunya bermula dari rumah. Sehubungan itu, para ibu bapa harus memainkan peranan utama dalam memastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan budaya hidup yang tidak sihat seperti budaya bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan secara berlebih-lebihan yang mengundang banyak risiko kepada anak-anak itu sendiri di samping menimbulkan banyak masalah kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sungguhpun ada di kalangan saudara-saudara yang barangkali berkemampuan untuk memberikan apa saja kepada anak-anak, namun perbuatan menyogokkan mereka dengan wang Ringgit serta pelbagai kemewahan bukanlah cara yang terbaik untuk mendidik dan menyayangi mereka kerana ia boleh menjadikan mereka materialistik dan lalai. Sebaliknya, suburkanlah anak-anak ataupun golongan remaja kita dengan iman dan takwa melalui didikan yang sempurna serta pemberian kasih sayang yang secukupnya.

Selain tugas ibu bapa, pertubuhan atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan perlu digerakkan bagi membentuk generasi remaja yang bersifat terbuka dan berlandaskan ajaran agama, budaya dan jati diri yang kukuh. Pengetahuan serta pemahaman terhadap nilai budaya dan moral serta kupasan masalah sosial daripada kaca mata saintifik, tingkah laku dan sosial perlu diterapkan kepada remaja secara berterusan. Ini penting kerana tanda keruntuhan nilai budaya dan moral di kalangan remaja semakin terasa di negara ini sejak kebelakangan ini.

Justeru itu saudara-saudara kaum muslimin sekalian, cara terbaik dan mustajab bagi menangani gejala sosial yang melanda masyarakat ini ialah dengan mentarbiah diri sendiri, anggota keluarga dan masyarakat supaya kembali kepada ajaran Islam. Segala petunjuk serta peringatan Allah dan Rasul-Nya harus kita ambil perhatian dan hayati sungguh-sungguh ke arah membentuk diri lebih beriman dan bertakwa. firman Allah:

Maksudnya:

“Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya).”

(Q.s. Al-Qiamah: 20-21).


link pautan mesti baca same penting : http://ydppmiusm.blogspot.com/2009/05/gelora-hedonisme.html

No comments: