27 March 2009

6 teka-teki imam al-Ghazali..

Imam Ghazali berteka-teki dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya beberapa soalan:

PERTAMANYA beliau bertanya apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :” Orang tua, guru, kawan dan sahabat”. Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan yang paling tepat sekali bagi soalan ini ialah ‘mati’. Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 185 :

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya : Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari qiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan



KEDUANYA beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :” negara China, bulan, matahari dan bintang”. Lalu Imam Ghazali menegaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah ‘masa lalu’. Walau dengan apa cara sekali pun kita tidak akan dapat kembali ke amasa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh agar kita tidak sesal di kemudian hari nanti.



KETIGANYA beliau bertanya tentang apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab: ” Gunung, bumi, matahari”. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah ‘nafsu’. Maka kita mesti berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahannam. Ayat 179 surah al-A’araf :
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالأِِنْسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَ يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahannam kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak digunakan untuk memamahami ayat Allah. Mereka mempunyai mata tetapi tidak digunakan untuk melihat tanda kekuasaan Allah, Mereka mempunyai telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar ayat Allah. Mereka itu seperti binatang bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai



KEEMPAT beliau bertanya tentang apakah yang paling berat di dunia lalu muridnya menjawab :” Besi, gajah”. Imam Ghazali mengatakan bahawa semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah ‘menanggung amanah’. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah meminta untuk memikul amanah khalifah di bumi. Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian dan kedegilan mereka dalam mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syarak. Ayat 72 Ahzab
إِنَّا عَرَضْنَا الأَ مَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الأِنْسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولاً

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka bimbang akan mengkhianatinya dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil



KELIMA beliau menyoal tentang apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab :” Kapas, angin, debu dan awan”. Imam Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah ‘meninggalkan sembahyang’ kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.



KEENAM beliau bertanya tentang apakah yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab :’ Pedang”. Imam Ghazali mengatakan bahawa jawapan itu adalah betul tetapi yang paling betul ialah ‘lidah manusia’ di mana disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan dan perpecahan.

قال الرسول e : مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ أَوْ لِيَسْكُتْ
Maksudnya : Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka dia hendaklah hanya berkata perkara yang baik atau pun dia diam

No comments: